Friday, May 20, 2011

Hukum Berinai Dan Mengukir Inai Ditangan BAGI PEREMPUAN

Hukum berinai bagi perempuan adakalanya sunat, adakalanya makruh, bahkan adakalanya haram mengikut keadaan, status perempuan itu sama ada bersuami atau tidak dan bagaimana cara perempuan itu berinai.


Rujukan : Jabatan mufti Kerajaan, jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam



i. Berinai yang sunat





Berinai ketika hendak melakukan ihram bagi perempuan sama ada perempuan tua atau yang muda, yang bersuami atau yang tidak bersuami (janda atau belum berkahwin) hukumnya adalah sunat. Begitu juga sunat bagi perempuan yang bersuami berinai walaupun dia tidak bermaksud untuk berihram.


ii. Berinai yang makruh





Berinai bagi perempuan yang tidak bersuami dan ia tidak bermaksud untuk berihram hukumnya adalah makruh.





iii. Berinai yang haram





Berinai dengan cara yang tidak dibenarkan oleh syarak, seperti berinai dengan warna hitam hukumnya adalah haram. Begitu juga haram berinai bagi perempuan yang berkabung kerana kematian suami.


Berinai Dengan Membuat Ukiran Di Tangan



Berinai yang disunatkan bagi perempuan yang bersuami yang ingin melakukan ihram atau tidak dan perempuan yang tidak bersuami yang ingin melakukan ihram ialah dengan cara menginai seluruh tangan hingga pergelangannya dan disunatkan juga menyapu sedikit inai pada mukanya.





Adapun berinai dengan membuat ukiran di tangan pula, Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah ada menyebutkan perkara ini di dalam kitabnya, Tuhfah al-Muhtaj ‘ala Syarh al-Minhaj, katanya yang bermaksud:





“Dan tidak disunatkan baginya (perempuan yang bersuami yang tidak melakukan ihram) berinai dengan membuat ukiran, berinai dengan warna hitam, berinai di hujung-hujung jari dan berinai dengan memerahkan pipi, bahkan haram melakukan salah satu daripada cara sedemikian bagi perempuan yang tidak bersuami dan bagi isteri yang tidak mendapat keizinan suaminya.”





Berdasarkan petikan di atas, jelas bahawa hukum berinai dengan membuat ukiran bukanlah cara yang disunatkan, bahkan perbuatan itu haram dilakukan bagi perempuan yang tidak bersuami dan juga bagi perempuan yang sudah berkahwin yang tidak mendapat keizinan suaminya. Namun jika suami mengizinkannya, makruh jika isteri melakukan yang sedemikian itu.





Selain daripada membuat ukiran, berinai dengan warna hitam, berinai di hujung-hujung jari dan berinai dengan memerahkan pipi juga merupakan cara berinai yang tidak dibenarkan oleh syarak.Walau bagaimanapun menurut Ibnu Rif‘ah Rahimahullah, apa yang dimaksudkan dengan berinai di hujung-hujung jari yang diharamkan itu adalah menginai hujung-hujung jari dengan inai yang berwarna merah dan dicampur dengan yang berwarna hitam.





Jika menginainya hanya dengan inai yang berwarna merah, maka yang sedemikian adalah dibolehkan. Begitu juga dibolehkan ukiran yang dibuat dengan inai (warna merah) sahaja menurut Ibn Qasim al- ‘Abbadi Rahimahullah.





Kesimpulannya, Islam tidaklah melarang umatnya untuk berhias selama mana berhias itu selari dengan apa yang disyariatkan syara‘. Termasuk dalam hal inai, Islam telah memberikan garis 
panduan tertentu mengenai cara berinai seperti larangan berinai dengan warna hitam dan waktu yang dibolehkan untuk berinai seperti sunat bagi perempuan berinai ketika berihram.


No comments:

Post a Comment